Thursday, December 30, 2010

Pendaftaran Pelajar Baru sesi 2011

Dengan ini dimaklumkan bahawa Pendaftaran Pelajar Baru  DaQwaH Sesi 2011 akan berlangsung seperti berikut :
Tarikh : 2 Januari 2011
Tempat : Darul Maliki, Taman TAR, Ampang Jaya
Masa : 9.00 pagi.

Kami mengalu-alukan kedatangan para pelajar baru ke DaQwaH. Ahlan wa Sahlan wa Marhaban bikum.

Thursday, December 2, 2010

DaQwaH di Utusan Malaysia

DaQwaH di Utusan Malaysia. Rujuk pautan ini.

------------------------------------------------------------------------------------

DaQwaH lahirkan pewaris nabi


Pelajar-pelajar meluangkan masa membaca ayat suci al-Quran di Darul Quran wal Hadith yang terletak di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor.


SUATU perkembangan positif yang dapat dilihat dalam masyarakat kita mutakhir ini adalah peningkatan minat yang ketara terhadap al-Quran. Terutamanya aspek hafalan, tajwid, tarannum dan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran.
Kecenderungan itu sedikit sebanyak disemarakkan lagi dengan pengaruh pelbagai program-program berkaitan al-Quran di media elektronik.
Antara kesan sampingan fenomena itu ialah muncul dan suburnya institusi tahfiz dan ilmu-ilmu al-Quran selari dengan permintaan yang semakin bertambah.
Dengan latar itu, kemunculan Darul Quran wal Hadith (DaQwaH), mungkin mudah disalahertikan sebagai sekadar menambah satu lagi pusat tahfiz biasa, tiada bezanya dengan institusi tahfiz yang lain.
Namun, apabila kita berpeluang mendampingi lebih akrab dengan DaQwaH, ternyata sangkaan itu meleset. Sebabnya, institusi tersebut merupakan satu usaha Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) dan Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor untuk melahirkan kader ilmu yang cemerlang dalam al-Quran dan hadis.
Misi DaQwaH jelas, iaitu untuk melahirkan para pelapis ulama yang merupakan pewaris para ambia seperti maksud salah satu sabda baginda SAW.
Oleh kerana itu, DaQwaH tidak hanya memfokuskan kepada agenda hafazan al-Quran tetapi turut menggandingkannya dengan hafazan dan penguasaan hadis, regu kembar al-Quran sebagai sumber dan asas agama Islam.
Maka tidak hairanlah nama DaQwaH itu sendiri memberi mesej yang jelas tentang komitmen terhadap penguasaan hadis dan ilmu-ilmu berkaitannya.
Selain itu, di DaQwaH, penekanan secukupnya turut diberi terhadap pelbagai ilmu-ilmu Islam lain yang perlu dikuasai oleh seseorang yang mahu benar-benar mencapai martabat ulama pewaris Nabi SAW.
Sesiapapun boleh mendakwa bahawa mereka mahu melahirkan para pelapis ulama, tetapi dalam kes DaQwaH, kita boleh meletakkan lebih keyakinan bahawa ia bukan hanya gimik dan angan-angan kosong apabila mengenali tokoh utama di balik tabir DaQwaH.
Pastinya, tokoh utama yang mencetuskan idea serta bersungguh-sungguh menjelmakan DaQwaH ialah Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki al-Ahmadi.
Beliau ialah tokoh ulama muda lulusan di bidang syariah daripada Universiti al-Azhar, Mesir.
Beliau turut mendapat perakuan sekian ramai gurunya daripada kalangan para ulama dunia Islam.
Pengerusi Lembaga Pengelola DaQwaH, Dr. Yusri Mohamad berkata, pelajar DaQwaH akan menyelesaikan hafalan al-Quran dalam peringkat tiga tahun pertama yang digelar I’dadiy (persediaan).
“Di tahap ini mereka juga akan dilatih untuk menguasai teks-teks asasi (matan) ilmu-ilmu Islam yang utama seperti bahasa Arab, Tajwid, Tafsir, Fiqh, Tasauf, Pengajian Hadis Bersanad, Mustalah Hadis, Sirah dan seumpamanya.
“Pada tahap kedua (Thanawi) selama dua tahun pula, para pelajar akan mula dilatih menguasai ilmu hadis dengan lebih intensif selain mengulangkaji hafalan al-Quran serta mempelajari teks-teks klasik ilmu-ilmu Islam yang lain.
“Mereka akan dipecahkan kepada dua aliran iaitu al-Quran dan hadis,” katanya ketika ditemui Mega di Seremban, baru-baru ini.
Tambah Yusri, apabila pelajar ini menamatkan pengajian, lulusan DaQwaH aliran hadis, insya-Allah turut menghafaz al-Quran dan kitab hadis Riyadh al-Solehin (hampir 2,000 hadis) serta mengkhatamkan pembacaan kitab Sahih Bukhari.
“Lulusan aliran al-Quran pula dimestikan menghafaz al-Quran, mengkhatamkan pengajian kitab Tafsir al-Jalalayn dan menghafal kitab hadis Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah (hampir 300 hadis),” katanya.